Berkata Imam Al Ghazali r.a , ” Seandainya engkau berniat dengan mencari ilmu untuk berlumba-lumba dan mendapatkan kemegahan dan terkemuka di kalangan kawan-kawan dan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap dirimu dan menghimpunkan akan kekayaan dunia, maka sebenarnya engkau telah berusaha menghancurkan agamamu dan membinasakan dirimu sendiri dan menjual akhiratmu.”

Ya Allah jadikanlah aku diantara mereka2 yang sentiasa merendah diri, dan jauhkanlah aku dari sikap riak..amiin..

 

Dari Kuliah Ustaz Fahrurrazi

Diantara tanda-tanda orang-orang yang mati didalam husnul khatimah adalah :

1. Seseorang yang akhir kalamnya ‘Laailaaha Illallah’.

2. Tiada seorang Muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat, melainkan Allah peliharanya dari fitnah kubur.

3. Seseorang yang mati ketika berperang, berjihad ke jalan Allah atau ketika dia sedang beramal soleh, nescaya dia akan masuk syurga.

4. Seseorang yang mati dengan didapati percikan peluh didahinya iaitu matinya orang yang beriman.

Kita haruslah memperbanyakkan mengucap kepujian dan kesyukuran kepada Allah s.w.t diatas nikmat Islam kerana ianya adalah setinggi-tinggi nikmat dan sebesar-besarnya. Sekiranya ditakdirkan Allah mengurniakan dunia dan seisinya kepada seseorang hamba, tetapi tidak pula dikurniakannya Islam, nescaya segala kurnia itu akan menjadi bencana baginya.

Sebaliknya, sekiranya Allah mengurniakan Islam, tetapi tiada diberikannya dunia, maka yang demikian itu tidaklah membahayakannya. Sebabnya, orang yang pertama tadi jika mati, nerakalah tempatnya. Manakala yang kedua pula, jika mati, syurgalah tempatnya.

 

 

Tajdid Iman : Dr Juanda Jaya

Ketika berada di bawah tekanan yang menyempitkan dada, lazimnya fikiran akan bercelaru, jiwa tergoncang dan tiada yang menyelimuti perasaan melainkan kesedihan dan putus asa. Tekanan kehidupan silih berganti merempuh jiwa.

Kadang-kadang ia menyebabkan kita menjadi hilang kawalan, sekali gus hilang keimanan. Begitulah ujian yang menyebabkan matinya hati, kerasnya jiwa dan tawarnya perasaan. Satu langkah untuk menghidupkan kembali hati yang tercedera adalah dengan menyahut seruan Allah (SWT) dan Rasul-Nya.

Satu resipi daripada al-Quran yang agung, firman Allah (SWT) bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, penuhilah seruan Allah (SWT) dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kalian kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kalian, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah (SWT) membatasi antara manusia dan hatinya.” (Surah Al-Anfal, ayat 24)

Hati memerlukan makanan yang paling berkhasiat supaya tetap bertenaga melawan nafsu syahwat yang mengganggunya. Menyahut seruan Allah (SWT) dan Rasul bermakna berada dalam ikatan Allah (SWT) dan Rasul-Nya di mana saja berada.

Dalam keadaan sibuk atau senang, dengan langkah kaki yang berat atau ringan, hati yang benci atau suka, namun tetap menyahut seruan Allah (SWT) dengan taat dan setia. Kadang-kadang kita mesti memaksa diri untuk melawan hasrat nafsu. Sebelum kejahatan itu berubah menjadi amalan harian dan kebiasaan buruk susah ditinggalkan.

Menyahut seruan Allah (SWT) mampu menghidupkan hati. Sesungguhnya manusia sentiasa mengalami kematian dan hidup semula. Iaitu ketika hati mereka mati kemudian disimbah cahaya iman sehingga ia hidup kembali.

Keadaan ini berulang-ulang dialami setiap insan. Bagaimana mungkin ia tidak sedar ketika hatinya mengalami sakaratul maut? Untuk itu, Al-Quran mengajarkan kita sentiasa bermohon kepada Allah (SWT) supaya hati tidak tersesat dan mati berulang kali.

Allah (SWT) berfirman bermaksud:

“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan selepas Engkau beri petunjuk kepada kami.” (Surah Ali Imran, ayat 8 )

Jika orang beriman melakukan maksiat kepada Allah (SWT) ataupun kejahatan kepada sesama manusia, dia berasa seolah-olah berlaku suatu kesempitan yang menekan dalam hatinya dan kesakitan adalah seperti mana sakitnya merasai sakaratul maut.

Kulitnya berpeluh dan pucat, takut balasan seksa Allah (SWT). Adakah ia akan dibalas langsung di dunia ataupun disimpan hingga di akhirat untuk menjadi bakaran api neraka. Dosa itu menghantuinya ke mana saja dia pergi.

Begitu juga sebaliknya jika seseorang dalam keadaan beribadat dan taat kepada Allah (SWT) serta berbuat baik kepada sesamanya, hatinya terasa lapang, wajahnya ceria, tutur katanya menyenangkan hati sesiapa yang mendengar, akalnya bertambah tajam, bijak dan luas pandangan.

Seperti sabda Baginda bermaksud:

“Jika cahaya masuk ke dalam hati, maka ia akan menjadi terang dan luas. Mereka bertanya: Apakah tanda-tandanya, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Mendekatkan diri kepada negeri yang abadi (akhirat), menjauhkan diri daripada negeri yang pasti hancur (dunia) serta mempersiapkan diri untuk mati sebelum ia datang.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hidupnya hati berkait rapat dengan ingatan kita kepada akhirat. Ramai orang yang ingat akhirat, tetapi berapa ramai yang ingat dan bersiap-siap berangkat menuju ke sana? Ada pula orang yang terlalu ghairah hendak pergi ke sana hingga apa saja yang ada di dunia ini adalah umpama syaitan dan musuh bagi dirinya.

Isteri diabaikan dan anak yang menjadi amanah dibiarkan macam syaitan. Kerjaya dan harta dilupakan kerana terlalu tekun memegang idealisme yang kononnya daripada agama, padahal dia tersesat dan mabuk oleh zikir yang membenci dunia.

Padahal agama adalah rahmat bagi seluruh dunia. Jika penganut agama ini tidak difungsikan sebagai pentadbir dunia, maka dia akan dibinasakan oleh penguasa bersifat duniawi. Maknanya mereka membiarkan orang kafir meneraju setiap bidang kehidupan, sementara orang Islam menjadi tawanan abdinya. Semua ini bukan ajaran Baginda. Mereka yang berfahaman sebegini sebenarnya tidak mengerti mengenai Islam.

Mencari bekal akhirat tidak bermakna membenci dunia. Kita hanya membenci kekufuran dan apa saja yang menuju ke arah itu. Jika dunia dijalani dengan penuh tanggungjawab keimanan, maka tiada masalah bagi orang Islam untuk menjadi manusia terkaya dan terhebat mentadbir dunia.

Duduk bersama orang kafir, tetapi sama sekali tidak terpengaruh ajakan kufur mereka. Begitulah sifat orang yang hatinya hidup. Terang dan luas seperti sabda Baginda SAW. Tiada tekanan yang menjejaskan imannya. Jika ia wujud sekalipun, ia hanyalah kerikil tajam yang mustahil mematikan hatinya.

Oleh itu, dia amat memerhatikan kesejahteraan hati. Jika ada tempat paling tinggi dan mahal harganya, suci lagi diagungkan, itulah hati nurani sendiri. Dia amat mencintai hatinya. Setiap hari hatinya sentiasa disentuh dengan kelembutan ilmu dan pengabdian diri kepada Allah (SWT).

Dia tidak akan membiarkan hatinya kekeringan hidayah dan petunjuk daripada Allah (SWT), jauh sekali membiarkannya mati oleh kefasikan dan maksiat. Hati orang mukmin terlalu istimewa, kerana di situlah jatuhnya pandangan Allah (SWT). Baik dan buruk seseorang bergantung kepada hati kerana ia adalah cerminan amal perbuatannya.

Proses menghidupkan hati memerlukan pengorbanan sepanjang hayat. Satu langkah lagi untuk menghidupkan hati adalah dengan menyalakan cahaya Al-Quran dalam diri kita.

Kedekatan seorang mukmin kepada al-Quran bergantung dengan kesungguhannya melalui pelbagai ujian kenaikan tingkatan keimanan. Tangga pertama harus dilalui dengan belajar membaca. Disebabkan cintakan al-Quran dia rela meninggalkan kesenangan dan hiburan yang melalaikan.

Tangga pertama ini tidak dapat didaki dalam masa sehari, ada yang sudah 10 tahun membiasakan diri membaca satu juzuk selepas subuh, tetapi selepas zaman berubah dia pun lalai dan sedikit demi sedikit meninggalkan al-Quran hingga akhirnya tidak sempat menyentuhnya walaupun sesaat.

Tangga kedua yang harus didaki untuk sampai ke puncak al-Quran adalah tangga kajian, seterusnya tangga amalan dan akhir sekali tangga memperjuangkan mesej al-Quran.

Namun, kita tidak nafikan ramai yang terjatuh dan kembali mendaki. Ada pula yang tidak perasan sesungguhnya dia sudah lama berada pada tangga paling bawah saja. Dia tidak sedar cahaya al-Quran yang menghidupkan hati itu hanya dapat diperoleh dengan mencapai keseluruhan tangga-tangga hingga ke puncaknya.

Al-Imam Ibnu Al-Qayyim berkata dalam Al-Fawaid:

“Carilah hatimu di tiga medan, ketika anda membaca al-Quran, ketika berada dalam majlis zikir (ilmu) dan pada saat berkhulwah menyendiri. Jika anda tidak menemukannya dalam tiga medan ini, maka mintalah kepada Allah (SWT) supaya memberikan kamu hati kerana sesungguhnya anda tidak memiliki hati!”

 

 

Dari Kuliah Ustaz Abu Zaki

“Aku nak simpan duit untuk hari tua” “Aku nak beli insurance untuk masa depan anak2 & keluarga” “Aku nak kumpul duit untuk hari persaraan”

Ungkapan2 diatas seringkali kita dengar tentang betapa perlunya kita mempunyai simpanan untuk kegunaan masa depan. Tetapi didalam Islam kita tidak dianjurkan untuk mengumpul harta yang berlebih2an, cukuplah sekadar mengikut kadar keperluan kita, selainnya sandarkan kepada Yang Maha Pemurah.

Menurut Ustaz, kalau nak ikut ‘grade kezuhudan’, kadar keperluan adalah seperti berikut :

  1. Tiada wang simpanan langsung (No savings at all)  contohnya Rasulullah s.a.w tidak mempunyai savings at all..berusaha untuk hari ini, bertawakkal untuk hari esok.
  2. Wang simpanan untuk 2 minggu sahaja.
  3. Wang simpanan hanya untuk 40 hari sahaja.
  4. Wang simpanan maksima hanya untuk setahun.

Adapun yang lebih dari kadar keperluan hanya akan membawa kepada 3 kebinasaan :

  1. Menyeru ia kepada maksiat. – Lebih banyak duit yang kita ada, maka lebih banyaklah maksiat yang akan kita lakukan :maksiat buang masa, maksiat berboros, maksiat berbelanja dan membazir, menjadi riak dan lebih cintakan dunia. Bila banyak duit, maksiat susah hendak dicontrol.
  2. Menyeru ia kepada bersedap-sedap dengan segala yang harus dan yang halal. – Bila banyak wang, suka enjoy dan susah hendak pisahkan dengan segala kenikmatan itu. Makin banyak duit, makin susah hendak menderma atau pun makin susah hendak bercerai dengan hartanya. Cinta dunia adalah penghulu kepada setiap kesalahan. Mulanya menjatuhkan ia kepada yang syubhat kemudian kepada yang makruh kemudian kepada yang haram.
  3. Melalaikan ia daripada zikrullah. – Asyik mengira macamana hendak tambahkan harta sahaja. Sering mengira turun naik untung dan ruginya tanpa mengambil kira amalannya semakin menurun.

Kenapa orang2 yang alim tak nak kaya?

– kerana mereka tahu akhirat itu lebih besar. Sekecil-kecil syurga adalah antara langit dengan bumi.

– kerana mereka tahu sekiranya terlalu banyak yang diambil didunia, hanya akan mengurangkan bahagian mereka diakhirat kelak.

– kerana mereka tahu kekayaan yang ada didunia adalah sebagai contoh bagi kita. ( jika kita pandang didunia sahaja dah indah, diakhirat nanti lebih2 lagi indah dari didunia ini)

Sesungguhnya kehidupan didunia ini hanyalah satu penipuan. Salurkanlah harta kita ke arah yang bermanfaat dan berusahalah untuk menyimpan harta kita kedalam BNS – bank negara syurga. hehehe

 

Dari kuliah Ustaz Abu Zaki.

Kikir (lokek) adalah salah satu daripada sifat hati manusia. Tak kiralah, orang yang miskin mahupun yang kaya, pasti ada sifat kikir dalam diri mereka.

 Kikirnya si miskin tidak nampak pada zahir, ianya terdetik dalam hati, eg. bila melihat si kaya menderma harta dengan jumlah yang banyak, akan berdetik dalam hatinya, ” Banyaknya dia derma! Kalaulah aku kaya, aku tak akan menderma sebegitu banyak.”

Kikirnya orang kaya pula nampak pada zahir. Orang kaya yang kikir menderma tanpa rasa ikhlas dihati. Dia menderma hanya kerana inginkan nama. Dan lagi, hartanya sentiasa dikira setiap waktu, dan ini hanya akan menjauhkan dirinya dari Allah.

Harta itu adalah ujian dari Allah. Allah akan permudahkan jalan2 ke syurga bagi mereka yang dermawan walaupun sekiranya dia tidak begitu alim.

Didalam dunia ini terdapat 4 golongan manusia :

1) Yang punya harta dan ilmu – Hartanya dikhadamkan dengan ilmu, iaitu, hartanya di bahagikan ke jalan yang diredhai.

2) Yang berilmu tanpa harta – Hatinya kaya. Dia berniat sekiranya dia mempunyai harta, hartanya itu akan didermakan.

3) Yang berharta tanpa ilmu – Kaya dengan wang dan nafsu. Golongan ini adalah dalam bahaya kerana sering berfoya-foya.

4) Yang tanpa ilmu mahupun harta – Nafsunya ke arah berbuat maksiat tapi tidak mampu mencapai cita2nya kerana tidak mempunyai harta.

**************

Hidup kita ini dikiaskan seperti berada didalam kapal pelayaran menuju ke akhirat yang kapalnya singgah sebentar disatu tempat bernama Dunia. Dan didalam kapal itu pula terdapat 3 golongan manusia.

Ketika kapal berlabuh di Dunia, golongan pertama akan mengambil barang yang dapat dimanfaatkan dan terus naik ke atas kapal. Golongan ini akan mendapat tempat yang luas dan selesa didalam kapal itu.

Golongan yang kedua pula adalah mereka yang akan mengambil segala isi di Dunia sehingga disaat naik ke kapal, tempatnya menjadi sempit.

Golongan yang ketiga pula adalah mereka yang terus menghabiskan masa untuk Dunia yang membawa kemudaratan pada diri mereka. Dengan kelalaian itu, mereka terlambat menaik ke atas kapal lantas menyebabkan mereka mendapat tempat yang paling tidak selesa.